Safwan kemudian mengajak Amin untuk turun makan malam bersamanya dengan tujuan berbincang lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapi Amin. Safwan adalah setahun lebih tua dari Amin kerana dia mengikuti program 2 tahun ketika di Matrikulasi.
Jam tangan Safwan tepat menunjukkan pukul 8 malam, “Min! Min! Jomlah cepat. Nanti tak sempat pula nak sembang panjang. Kita kan ada test Evolusi esok.”
Amin segera menyarung selipar biru getahnya dan berjalan keluar dari bilik diekori bunyi decitan pada seliparnya. Safwan dan Amin menuju ke Kedai Selera Melaka untuk makan malam.
“Dah la tu Amin, kejap lagi kita bincang. Jangan diam je,” kata Safwan kerana melihat Amin diam seribu bahasa. Namun, Amin tetap berdiam diri kerana memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah yang dihadapinya.
“Ha, makcik bagi nasi ayam dengan teh-o beng dua ye,” Safwan memesankan makanan untuk Amin. Amin masih berdiam diri dan termenung sendirian. Amin sedang memikirkan impak yang akan dialami sepupunya sekirannya dia mengambil keputusan untuk berpisah. Amin teringat kembali pertemuannya dengan Siti di rumahnya sempena kenduri kesyukuran dan doa selamat kerana Amin sekeluarga telah berpindah ke rumah baharu.
“Along Amin, lama tak jumpa, dah makin segak sekarang,” Siti tertawa kecil ketika terserempak dengan Amin di tangga. Amin hanya mampu melemparkan senyuman dan mengangguk sebagai tanda terima kasih kerana dia sedang sibuk mengemas rumah untuk kenduri pada hari Ahad nanti. Keluarga Siti tiba lebih awal kerana ingin membantu dalam persiapan kenduri. Tambahan pula, emak Siti merupakan ketua tukang masak bagi kenduri tersebut. Setelah berselisih di tangga, Siti terus naik ke bilik adik perempuan Amin untuk menyalin pakaian dan membantu mengemas rumah.
Pada waktu malam, sedang Amin berehat di biliknya, Siti mengetuk pintu dan masuk bersama dengan adik-adik perempuan Amin. Siti mengambil peluang ini untuk berbual dengan Amin.
“Along Amin baru habis matriks kan? Best tak? Mesti dah ada awek kan?” Siti bertubi-tubi menanyakan soalan kepada Amin. Amin tersenyum dan menggeleng. Amin seorang yang pemalu terutama di kalangan gadis-gadis. Setelah beberapa lama, Siti meminta nombor telefon Amin atas alasan untuk tidak terputus hubungan antara sepupu.
“Amin, kau bayarkan untuk aku dulu. Nanti aku bayar, tak ada duit kecik la,” suara Safwan menyedarkan Amin dari lamunannya. Amin membayar dan menceritakan masalahnya kepada Safwan.
No comments:
Post a Comment