Alkisah cinta seorang Jejaka dan seorang gadis… perjumpaan mereka mencatat sejarah, percintaan mereka mencoret kisah… satu cereka penuh dugaan, cerita penuh cabaran… Percintaan mereka bergolak ibarat geloranya laut. Pasang surut kasih dan sayang antara mereka sering terjadi. Pertelingkahan demi pertelingkahan berlaku sehingga antara keduanya hanya mampu mengeluh mengenangkan nasib kisah percintaan dua insan.
Titik noktah percintaan akhirnya terjadi, Gadis membawa diri menjauhi Jejaka. Hidup Jejaka terumbang ambing. Kini, baru dia sedari, cinta Gadis amat diperlukannya. Setelah Jejaka memujuk rayu, akhirnya Gadis pulang kerana kasihankan Jejaka. Cinta bertaut semula, kasih Gadis dan Jejaka kembali abadi.
Namun, langit tidak selalunya cerah…
“Awak, buzy ke?” tanya Gadis kerisauan dengan keadaan Jejaka yang menyepi sejak Jejaka mendapat kerja.
“Buzy, nanti saya free saya call awak balik,” Jejaka terus menekan butang merah di telefon bimbitnya, mematikan talian.
Tetapi, Jejaka tidak pernah membalas panggilan Gadis. Gadis terpinga-pinga, diabaikan Jejaka yang sibuk dengan kerjaya. Gadis cuba memahami keadaan Jejaka yang memerlukan ruang dan masa untuk mencipta nama, bukan sahaja untuk diri Jejaka, malah demi masa depan mereka bersama.
Namun, masa silih berganti dan keadaan Jejaka masih tidak berubah. Jejaka lebih mementingkan kerjanya dan mengabaikan kekasih hatinya. Setiap message di telefon bimbit tidak dibalas, setiap panggilan telefon dari Gadis, Jejaka tidak endahkan. Lama kelamaan, hati Gadis menjadi semakin tawar. Tawar terhadap cinta yang baru ingin berputik bunga kasih serta berbuahkan sayang. Gadis cuba menanam perasaan benci terhadap Jejaka agar tangisan kerinduannya setiap malam terubat.
Suatu hari, akbiat tidak mampu menahan sakit di hatinya lagi, Gadis menghantar satu pesanan terakhir.
“Jejaka, awak sibuk dengan kerja je kan? Nanti awak kahwinlah dengan kerja awak tu,, biar kerja awak yang jaga awak. Masa awak sakit nanti, suruh kerja awak yang tengokkan. Masa awak mati nanti, suruh kerja awak yang kafankan, sembahyangkan semua, ok?” mesej terakhir dari Gadis yang sampai ke telefon bimbit Jejaka.
“Astaghfirullahalazim, apa aku dah buat ni?!!” Jejaka baru tersedar keadaan hati Gadis yang telah lama terguris.
Jejaka bukan tidak faham dengan hati dan perasaan Gadis. Sudah lebih dua tahun mereka berkasih asmara. Sikap Gadis telah pun difahaminya. Pergaduhan demi pergaduhan menambahkan lagi kefahaman Jejaka terhadap Gadis. Pada hematnya, Gadis telah tawar hati terhadapnya. Jejaka kesal, dia tahu nasi telah menjadi bubur. Namun, Jejaka tetap berusaha untuk memujuk Gadis kerana baginya Gadis adalah satu-satunya wanita yang mampu menjadi tulang rusuk kirinya.
“Awak… Awak… tolonglah, saya buat semua ni untuk awak, untuk kita. Saya kerja elok-elok sebab nak kumpul duit. Saya nak bina hidup bersama dengan awak. Awak janganlah macam ni, saya minta maaf. Tapi saya memang terlalu sibuk dengan kerja dekat sini. Awak janganlah risau, semua ni hanya 2 bulan awal je, lepas ni saya boleh temankan awak semula. Please Gadis…” balasan ringkas dari Jejaka.
Namun, walau berpuluh pesanan dihantar, hati Gadis tetap tidak terbuka untuk menerima kehadiran Jejaka. Jejaka cuba menelefon Gadis beberapa kali untuk memujuknya. Akhirnya, pada keesokan hari, Gadis menjawab panggilan telefon Jejaka.
“Assalamualaikum Gadis,” ujar Jejaka lembut.
“Waalaikumussalam Jejaka, kenapa awak telefon saya lagi? Kan kita dah tak ada apa-apa?” jawab Gadis teresak-esak.
“Gadis, usah awak bohongi hati awak. Tolonglah, saya tahu masih ada ruang untuk diri saya dalam diri awak. Saya harap awak bagilah saya peluang. Saya tahu, beribu kali dah awak bagi peluang. Namun saya tetap buat salah dekat awak,” manik-manik kaca mengalir di pipi Jejaka.
“Hmmmm...,” Gadis masih teresak.
“Gadis, saya tahu begitu banyak khilaf diri ini yang awak terima. Saya minta maaf, saya janji akan berusaha untuk tidak ulangnya lagi,” tambah Jejaka lagi.
“Sudahlah Jejaka, jangan menangis lagi. Kalau betul Jejaka nak Gadis maafkan, malam ni kena bawa Gadis keluar dinner. Boleh?” Gadis cuba membaiki keadaan dan menahan perasaan.
“Betul ni Gadis??!! Jejaka sayangkan Gadis sangat-sangat. Jejaka janji, nanti Jejaka sampai. Malam ni biar Jejaka belanja,” Jejaka mengesatkan air matanya.
“Mestilah Jejaka yang belanja. Takkan Gadis pula, kan?” seloroh Gadis sambil tersenyum.
Malam itu, Jejaka membawa kereta Iswaranya menunggu di seberang jalan berhadapan dengan rumah Gadis. Sejambak bunga ros merah dan sekotak coklat diletakkan di tempat duduk bersebelahan dengan tempat duduk Jejaka menjadi hadiah buat Gadis malam itu. Jejaka menelefon Gadis untuk memberitahu bahawa dia sedang menunggu.
“Assalamualaikum Gadis, Jejaka dah sampai,”
“Waalaikumussalam, kejap. Gadis tengah nak lintas jalan ni,” jawab Gadis.
“Ha’ah, Jejaka dah nampak dah,” balas Jejaka sambil melambai ke arah Gadis.
Tiba-tiba, sebuah kereta dengan lajunya melanggar Gadis yang sedang melintas. Telefon bimbit Gadis terpelanting jauh dan Gadis terkujur kaku di atas jalan raya.
“GADIS!!!!!” jerit Jejaka dari seberang jalan yang sejak dari tadi memerhatikan Gadis.
Jejaka bergegas keluar dari kereta dan berlari ke tengah jalan. Beberapa buah kereta berhenti di tepi untuk memerhati dengan lebih dekat lagi. Jejaka terus memangku Gadis di ribanya lalu mengalirlah butiran mutiara di pipinya.
“GADIS!! Bangun Gadis!! BANGUN!!!” tangis Jejaka sambil sesekali menggoncang tubuh Gadis.
Beberapa orang yang lalu lalang berkerumun di sekeliling Jejaka sambil mengomel sesama sendiri. Terdapat segelintir yang lain melihat keadaan kereta yang sedikit kemek.
“Sesiapa, tolonglah telefon ambulans!” Jejaka merayu kepada orang ramai yang mengerumuninya.
“Biar saya telefon, kejap ye,” jawab seorang pemuda.
15 minit kemudian, ambulans tiba dan membawa pasangan itu pergi. Jejaka menemani Gadis di dalam ambulans. Jejaka memegang tangan Gadis yang masih tidak sedarkan diri sambil teresak-esak. Kepala Gadis yang berlumuran darah diusap beberapa kali oleh Jejaka. Titisan air mata Jejaka sesekali menitis di atas muka Gadis yang masih kaku.
“Gadis, maafkan Jejaka. Maafkan Jejaka, Gadis. Janganlah tinggalkan Jejaka,” Jejaka mengulangi kata-katanya berkali-kali sehingga ambulans tiba di hospital.
Setibanya di hospital, Gadis dimasukkan ke wad kecemasan. Jejaka mengikut dari belakang. Namun, tindakannya terhalang oleh beberapa orang kakitangan hospital.
“Encik tak boleh masuk, ini wad kecemasan,” ujar seorang kakitangan sambil memegang kemas lengan Jejaka.
“Tapi saya nak bersama dengan dia,” Jejaka masih degil untuk masuk.
“Tak boleh encik, maaf,” jawab seorang kakitangan lagi kali ini dengan lebih keras.
Jejaka duduk terkulai di atas lantai. Matanya merah, air matanya kering. Jejaka mendail nombor telefon ayah Gadis untuk memberitahu tentang keadaan Gadis. Tidak lama kemudian, keluarga Gadis pun tiba.
“Macam mana dengan Gadis?” mama Gadis bertanya gelisah dan risau dengan keadaan anak daranya.
“Doktor masih dekat dalam dengan dia makcik,” Jejaka menjawab sayu.
Setelah beberapa jam, lampu merah di wad kecemasan pun terpadam menandakan segala operasi telahpun selesai. Beberapa orang jururawat keluar membimbit beberapa dokumen dan diikuti dua orang doktor yang bertanggungjawab pada malam itu.
“Macam mana anak saya doktor?” tanya mama Gadis.
“Dia kritikal sekarang ni. Saya nasihatkan supaya keluarga makcik banyakkan berdoa. Kita akan tengok keadaan dia esok macam mana,” jawab doktor sambil berlalu pergi.
“Boleh saya tengok anak saya doktor?” Papa Gadis bertanya.
“Kita bagi dia rehat dulu. Tapi saya izinkan masuk seorang demi seorang saja,” tambah doktor itu lagi.
Papa, mama dan adik-adik Gadis masuk satu persatu melihat keadaan Gadis. Jejaka masih membisu di ruang menunggu. Mama Gadis menangis teresak-esak dalam pelukan suaminya. Papa dan adik-adik Gadis cuba menenangkan mamanya. Ibu mana tidak sedih melihat keadaan anaknya seperti itu.
Jejaka berjalan sehingga ke bumbung hospital. Jejaka menangis sepuas hatinya seorang diri di situ. Jejaka memandang ke dada langit. Gelap. Bintang-bintang gemerlipan menghiasi ruang angkasa malam itu.
“Alangkah indahnya andai ku dapat putarkan masa. Aku hanya mahukan Gadis bahagia. Sedih hatiku melihat keadaannya. Ingin ku putarkan masa dan andai dapat menyelematkan Gadis, ambillah nyawaku sebagai ganti,” Jejaka berteriak seorang diri.
Tiba-tiba, kelihatan di langit, satu cirit bintang melintasi ruang cakerawala. Jejaka tidak perasan kerana hatinya masih hiba dengan keadaan Gadis. Akhirnya, Jejaka pulang ke rumah dan berbaring di atas katilnya. Jejaka hanya mampu menekup wajahnya dengan bantal bagi menyembunyikan suara tangisannya malam itu. Malam itu Jejaka bermimpi didatangi seorang tua berjanggut putih.
“Tuk tahu masalah kamu. Tapi jangan khuatir, Tuk akan tolong kamu,”
“Siapa Tuk ni? Macamna Tuk boleh tahu masalah saya?”
“Segala soalan tidak akan Tuk jawab. Kamu mesti ingat, segala pinjaman harus dibayar. Segala kata mesti dikota,” dengan kata-kata itu, akhirnya orang tua itu menghilangkan diri.
Jejaka terjaga dari tidurnya mengejut. Jejaka cepat-cepat membasuh mukanya lalu memandang cermin. Matanya masih merah bak saga, akibat dari menangis yang keterlaluan. Pagi itu, Jejaka bersiram tanpa selera, sarapan paginya tidak mampu ditelan. Segala yang indah bertukar punah. Jejaka mengambil kunci keretanya untuk memandu ke hospital.
“Ku susuri, malam ini, yang tidak berbintang sunyi sepi,
Juga rembulan dah menghilang, dalam kelam ku sendiri…
…
Kekasihku di jalanan yang berliku,
Di saatku perlukan mu, tertutup jua segalanya terhadapmu,
Di sini, ku tersedu-sedu, setelah cinta pergi,
ku mengusung duka ini diiringi,
kisah janji dimungkiri lagi…”
Lagu Beribu Sesalan dendangan tiga vokalis cantik, Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor yang menjadi nada dering telefon bimbitnya berkemundang di dalam keretanya. Bait-bait lagu itu membuatkan Jejaka mengenang kembali segala janjinya yang tidak ditepati kepada Gadis. Beribu sesalan melanda jiwa Jejaka tika itu. Titisan mutiara mengalir dari pipi Jejaka lalu menitis di atas stereng kereta. Jejaka mengesat air matanya beberapa kali, pedih matanya kerana menangis terlalu lama. Jejaka mengambil telefon bimbitnya. Terpana mata Jejaka, terkejut dengan apa yang muncul di skrin telefonnya.
“Gadis calling” Jejaka cepat-cepat menjawab.
“Hello?” ujar Jejaka perlahan.
“Hello, awak dekat mana ni? Jom kita keluar nak? Saya bosanlah duduk dekat rumah je. Awak ambillah cuti hari ni. Tak payah pergi kerja, please…” suara Gadis memujuk Jejaka.
Terkejut Jejaka, dadanya berombak dan jantungnya berdegup kencang. Jejaka memandang skrin telefon bimbitnya beberapa kali. Tiba-tiba dia terpandang tarikh di skrin, sehari sebelum kejadian. Pelik. Jejaka hairan dengan segala yang berlaku.
“Hello! Hello! Awak, pergi mana tu? Dengar tak saya cakap ni?” Gadis memanggil Jejaka.
“Errkkk… Hello, sorry ada gangguan sikit. Tak apalah, hari ni saya ambil cuti. Kita keluar sama-sama ok?” jawab Jejaka.
“Betul ni? Seronoknya… saya pergi tukar baju dulu. Terima kasih awak. Saaaayyaaannggg awak sesangat!” balas Gadis tersenyum gembira lalu memutuskan talian.
“Assalamualaikum, Rafi. Hari ni aku tak dapat datang kerja, ada kecemasan. Nanti hari Isnin aku masuk kerja. Thanks,” Jejaka menelefon rakan sekerjanya.
Jejaka kemudiannya menghantar satu pesanan ringkas kepada Gadis.
“Awak, sekarang baru pukul 8, saya datang ambil awak pukul 12 boleh? Saya settlekan kerja sikit, pleassseee sayang… boleh ye?”
“Ok awak… tapi nanti jangan lambat. Kalau lambat, saya cubit lengan awak sampai lebam… ^_^” balas Gadis dengan ugutan manja.
Jejaka hanya mampu tersenyum. Peristiwa Gadis mengalami kemalangan bagaikan mimpi yang benar-benar terjadi. Baginya, ini adalah peluang kedua untuk dia membaiki keadaan. Jejaka harus melakukan yang terbaik agar dia tidak menyesal di hari kelak.
“Haaa… Awak lambat 10 minit! Awak tahu saya tak suka tunggu kan?” Gadis memuncungkan bibir mungilnya.
“Aaaddoooiiii, sakit… sakit Gadis,” Jejaka mengadu kesakitan akibat dicubit Gadis.
“Padan muka! Bluek!” Gadis menjelirkan lidahnya.
Comel. Jejaka hanya mampu tersenyum. Walaupun sakit, Jejaka tahankan. Jejaka memohon maaf dengan memberi Gadis sekuntum bunga ros putih.
“Surprise!” Jejaka membuat kejutan.
“Oh? Bunga? Cantiknya awak, thanks,” Gadis mencium bunga lalu tersenyum.
“Sorry cubit awak… sakit ke? Bak sini lengan saya tengok,” Gadis menarik lengan Jejaka dan melipat sedikit lengan baju Jejaka.
Biru. Kelihatan kesan cubitan meninggalkan lebam berwarna biru. Tiba-tiba Gadis merasa bersalah dengan tindakannya. Gadis terdiam membisu.
“Laaa… Kenapa dengan awak ni? Sedih pula dia. Tiup cepat lebam tu…” ujar Jejaka sambil ketawa kecil.
“Awak, sorry sangat. Saya geram sebab awak selalu datang lambat. Sebab tu saya cubit tadi, ingat nak gurau je,”air mata Gadis menitis di kelopak ros putih.
“Ish awak ni, saya ok jelah. Dahlah, jom kita pergi lunch. KFC nak? Saya belanja snack plate favourite awak,” Jejaka cuba menceriakan suasana yang suram.
Gadis bersandar dibahu Jejaka sambil mengusap kesan cubitan di lengan Jejaka. Hari itu, mereka meluangkan masa bersama dan kemesraan mereka ibarat pasangan yang baru mengenal cinta. Gadis dan Jejaka lupa sakit yang dialami selama ini. Sakit dan luka percintaan hanyalah parut yang menjadi adat berkasih. Manakan dapat pelangi, andainya tiada hujan.
“Terima kasih awak, saya happy sangat hari ni,” bisik Gadis ke telinga Jejaka perlahan.
Jejaka hanya mampu tersenyum hiba. Jejaka teringat kejadian malang yang menimpa Gadis. Hatinya sebak dan air matanya bagai hujan yang bakal membasahi bumi. Jejaka melambai dan berlalu pergi dari rumah Gadis. Air mata membasahi bajunya, menemani Jejaka sepanjang perjalanan ke rumah. Malam itu, Jejaka bermimpi lagi.
“Ingat cu… esok Tuk akan tuntut janji… kata perlu dikota, harta untuk harta dan jiwa untuk jiwa,” berulang kali orang tua itu berpesan di dalam mimpi Jejaka.
Keesokan pagi, seawal subuh dinihari, Jejaka menelefon Gadis.
“Assalamualaikum, kenapa awak telefon saya pagi-pagi ni? Dah bersiap nak pergi kerja ke?” Gadis bertanya dalam keadaan yang mamai.
“Waalaikumsalam, taklah. Saya nak awak bersiap cepat. Lagi 10 minit saya sampai. Jangan tanya apa-apa, okay?” Jejaka terus memutuskan talian.
Kali ini, dalam masa 5 minit sahaja, Jejaka telahpun tiba di hadapan rumah kekasih hatinya.
“Amboi, awalnya awak hari ni. Kita nak pergi mana pagi-pagi buta ni?” tanya Gadis lagi.
“Nanti awak tahulah, ikut je. Okay?” jawab Jejaka.
Gadis memasuki kereta tanpa dengan pelbagai persoalan di benak mindanya. Sepanjang perjalanan, Gadis tidur berbantalkan bahu Jejaka.
“Awak, bangun awak,” kejut Jejaka lembut.
Gadis membuka matanya. Pantai. Jejaka membawa Gadis ke pantai untuk menikmati terbit mentari di ufuk timur. Jejaka dan Gadis melabuhkan punggung di bening pasir berlapikkan butiran pasir. Sesekali air laut membasahi jemari kaki mereka.
“Cantiknya awak. Seronoknya kalau tiap-tiap hari kita macam ni, kan?”ujar Gadis lembut.
“Gadis, memang seronok. Tapi setiap kisah cinta pasti ada onak durinya kan?” balas Jejaka tersenyum.
“Alaa… gaduh pun gaduhlah… yang penting awak janji… jangan tinggalkan saya macam dulu!” tambah Gadis lagi.
Jejaka tersenyum dan mengangguk mengiyakan permintaan Gadis. Terbit mentari pagi itu melakar sebuah memori di hati merpati dua sejoli ini.
“Eh, awak tak kerja ke hari ni?” tanya Gadis kehairanan.
“Taklah, saya saja ambil cuti. Rindu kat awak,” Jejaka tersenyum manis.
“Mengada-ngada! Pergilah kerja, sibuk je kacau orang pagi-pagi nak tidur,” Gadis berseloroh.
“Amboi… meh sini, kita buat special untuk dia, dia kata kita macam tu pula,” Jejaka mencubit lengan Gadis yang sedikit gebu.
Mereka bersarapan pagi itu di McDonalds dan menikmati Fillet-o-Fish kegemaran mereka. Jejaka kemudiannya menghantar Gadis pulang dan berjanji untuk menjemputnya pada pukul 4.30 petang nanti. Jejaka pulang ke rumahnya dan bersiap untuk malam ini.
“1 message received” tertera di telefon bimbit Jejaka lalu pesanan itu di baca.
“Awak, sorry tapi mama suruh saya buat kerja sikit. Kita keluar lewat sikitlah ye?”
“Ok… ^_^” balas Jejaka.
Malam itu, Jejaka menjemput Gadis dan membawanya makan malam di restoran kebiasaan mereka. Nasi putih berlaukkan tomyam campur dan udang celup tepung menjadi santapan. Namun, jantung Jejaka terasa berdebar. Sesekali Jejaka melihat jam tangannya.
“Masih ada 10 minit sebelum waktu kemalangan hari tu. Kalau lepas masa ni, Gadis mesti okay,” bisik hati kecil Jejaka.
“Awak, kredit saya dah habislah. Saya pergi beli dekat 7-Eleven depan tu. Awak tak payah temanlah, okay?” ujar Gadis sambil bergegas pergi.
“Eh awak, tunggu!” Jejaka ingin mengejar Gadis tetapi ditahan seorang pelayan kerana masih belum membuat bayaran.
Jejaka membuat bayaran secepat mungkin dan bergegas keluar dari restoran. Kelihatan Gadis di seberang jalan sedang melambai ke arahnya. Tiba-tiba Gadis terus berjalan ke arah Jejaka tanpa memandang Mazda putih yang meluncur laju ke arah Gadis.
“harta untuk harta dan jiwa untuk jiwa,” kata-kata orang tua di dalam mimpinya terngiang di telinganya.
Jejaka berlari dan menolak Gadis ke tepi. Gadis terjatuh, lututnya luka. Kemudian, masa seolah-olah berputar perlahan. Gadis memandang Jejaka yang masih berdiri di atas jalan raya. Jejaka tersenyum sambil melambai ke arahnya. Gadis cuba menggapai tangan Jejaka dan tatkala Gadis cuba untuk berdiri, Mazda putih tadi telah menabrak Jejaka.
“TIDAK!!!” titisan air mata Gadis mengalir serentak dengan hujan yang turun menderu.
Selepas pengebumian Jejaka, ibu Jejaka memberikan Gadis sebuah kotak yang diluarnya tertera nama Gadis. Gadis membuka kotak tersebut, di dalamnya terdapat semua barang-barang Jejaka yang telah dihadiahkan oleh Gadis. Kemudian, ibu Jejaka memberikan satu sampul berisi surat dan pendrive.
Gadis membaca isi surat tersebut.
“Assalamualikum Gadis, wanita yang selamanya di hati ini,
Awak, ingat tak saat pertemuan kita dulu? Saat masing-masing jual mahal…
Saat awak cakap awak dah ada tuning? Awak tipu saya…awak ingat tak?
Lepas tu, awak bagu tahu yang awak tipu dan awak terima saya ke dalam hati awak…
Seronoknya saya sebab inilah pertama kali saya merasai cinta…
Tapi, tak sampai sebulan, kita gaduh…
Masa tu, saya ingat cinta saya dah berakhir, hancurnya hati saya…
Tapi awak sudi terima saya balik… terima kasih sayang, hati saya kembali berbunga…
Memori pahit manis kita bersama…
Setiap saat saya abadikan dalam jiwa saya…
Walaupun kita dah banyak kali bergaduh,
Namun, hati saya tetap utuh untuk setia pada awak…
Saya tahu, kebanyakan pergaduhan salah saya…
Maafkan saya sayang…
Awak tahu kenapa saya bawa awak ke pantai?
Sebab saya nak awak tahu, cinta saya kepada awak…
Ibarat setiap butiran pasir di pantai…
Setiap bintang yang bertaburan di langit…
Setiap titisan embun di pagi hari…
Awak, maafkan saya sebab saya terpaksa pergi meninggalkan awak…
Bukan niat saya untuk berpisah,
Tapi, saya harap awak redha dengan takdir yang berlaku…
Bagi saya, inilah yang terbaik…
Biarlah saya hilang nyawa dari hilang cinta…
Sebab awak tahu kan?
Cinta awaklah nadi untuk nyawa saya…
Awak… saya tak mampu nak menulis panjang…
Sebab hati saya sebak sangat ni…
Ingatlah awak…
Andai awak rindukan saya, lihatlah langit dan petiklah satu bintang…
Bawa bersama di setiap tidur awak…
Saya akan menjadi bintang yang menemani awak setiap malam…
Saya akan menjadi awan yang melindungi awak setiap hari…
Sebab saya sayang awak selamanya…
Dari Jejaka”
Manik-manik kaca gugur membasahi surat terakhir dari Jejaka. Gadis tidak dapat menahan dari lagi. Ingin rasanya dia memeluk Jejaka saat ini. Gadis mengambil pendrive dan membuka file yang terdapat di dalamnya. Satu rakaman video nyanyian Jejaka yang dibuat sehari sebelum kejadian.
“Awak, saya tak pandai nyanyi, sorry. Awak, masa awak tengok video ni, jangan nangis tau!” Jejaka tersenyum sambil menyeka butiran manik di alis matanya.
“Cinta memang tak selamanya bisa indah, Cinta juga bisa berubah menjadi sakit,
Begitu yang ku rasakan kini, perih hatiku tinggal kehancuran,
Tak pernah terbayangkan dan tak pernah terfikirkan,
cintamu dan cintaku akan berpisah,
namun harus ku relakan itu, untuk hidupmu agar lebih baik,
maafkan aku setulus hatimu, kepergian diriku, itu bukan keinginanku,
terima saja dari pilihan yang lain dari orang tuamu,
jangan bersedih dengan keadaan ini,
jika kamu menangis, aku juga ikut menangis,
terima saja semua ini ku lakukan,
untukmu…”
^_^
Morale: Life is gift...Love is a present...both are important... sometimes.. it is better to lose your life than to lose your love... cherish your love... because if it is lost... it's almost impossible to come back... ^_^